Media FINAS Malaysia 4 Oct 2016

Filem Redha mewakili Malaysia di Anugerah Akademi ke-89 (OSCAR) di dalam kategori filem bahasa asing terbaik

Kuala Lumpur, 4 Oktober 2016 – Filem Redha arahan Tunku Mona Riza terbitan Current Pictures Sdn Bhd telah dipilih secara rasmi oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Jawatankuasa Festival Filem Antarabangsa untuk mewakili Malaysia bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi ke-89 (Oscar) yang dijadualkan berlangsung pada 26 Februari 2017.

Untuk Oscar sebelum ini, filem-filem yang telah mewakili Malaysia ialah Puteri Gunung Ledang (2005), Bunohan (2013) dan Lelaki Harapan Dunia pada edisi tahun lalu (2015). Filem Redha yang mengisahkan kekuatan dan pengorbanan pasangan suami isteri di dalam menghadapi cabaran anak tunggal mereka yang menghidap autism dibarisi pelakon hebat; Nam Ron, June Lojong, Nadiya Nissa, Remy Ishak, Ruminah Sidek, Susan Lankester selain pelakon kanak-kanak; Harith Haziq dan Izzy Reef ini telah berjaya memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan Anugerah Khas Juri di World Premieres Film Festival 2016, Manila, Philippines, Merit Awards di Los Angeles (Awareness Film Festival (LAAFF2016) dan Anugerah Utama dalam Main Competition iaitu: (i) The Special Prize Nominated by The President of Tatarstan Republic for Humanism in the Cinematography, (ii) The Special Prize of The Russian Guild Of Cinema Critics & (iii) The Best Actor in The Full Length Feature Film for Male Ensemble Actors; Nam Ron, Harith Haziq and Izzy Zulkhazreef di 12th Kazan International Muslim Film Festival 2016, Redha juga akan mewakili Malaysia ke 4th Casa Asia Film Week, Barcelona dan 10th Asia Pacific Screen Awards (APSA) di Brisbane, Australia pada bulan November 2016 ini.